June 20, 2008

Marriage...

Marriage can be defined as the formal union of a man and a woman, typically as recognized by law, by which they become husband and wife. Perkahwinan yang menyatukan dua insan yang bercinta, melayari bahtera cinta mereka dengan ikatan yang sah serta diredhai oleh Allah.

Aku dikelilingi oleh teman-teman yang tidak pernah sepi dalam menjalani kehidupan mereka. Ada yang bercinta, ada yang telah mengikat tali pertunangan, malahan ada juga yang telah berkahwin serta mempunyai anak sebagai penyeri mahligai yang telah dibina. Aduh! - Terkadang aku merasa sepi tetapi aku sangat bahagia melihat senyuman yang dipamerkan mereka. Apa mungkin tidak tersenyum apabila hati berbunga dan berbahagia?.

Tahniah buat teman-teman seperti Noraini dan Wardah kerana telah mengikat tali pertunangan dengan teman yang dipilih mereka. Aku hanya bisa mendoakan yang terbaik buat kalian - agar dikuatkan jodoh kalian bagi menempuhi sesuatu yang dipanggil perkahwinan selepas ini. Buat Hazami yang menjadi sahabat aku, tahniah kerana berjaya bangkit setelah melalui pelbagai pengalaman dalam hidupmu. Harus sahaja aku akui, melihat kamu bahagia bersama isteri dan anak-anak kembarmu, buat aku cemburu. Bukan kerana apa, tetapi kerana melihat kekuatan yang engkau pamerkan setelah melalui episod yang gelap. Pengalaman itu sungguh berharga dalam kehidupan kita sendiri dan aku mendoakan engkau akan bertemu dia yang kau cintai di daerah yang kekal abadi, insyaAllah.

Apa pula dengan diriku?. Aku belum mungkin melalui pengalaman seperti teman-temanku, masih terlalu jauh barangkali - belum menjadi puteri di hati mana-mana lelaki. Tetapi, insyaAllah, mungkin aku akan melalui pengalaman seperti itu nanti - mungkin bukan sekarang. Melihat teman-temanku yang melalui episod gembira dalam kehidupan mereka, aku juga tumpang gembira. Harus aku nyatakan, walaupun aku sering dilihat kelihatan kasar dan sebagainya, aku belum berani dalam menempuhi sesuatu yang digelar pertunangan apatah lagi perkahwinan. Terlalu besar tanggungjawab yang akan dihadapi sebelum dan selepas itu, terlalu banyak yang perlu difikirkan. Mungkin sesetengah kata-kata orang, aku masih belum bersedia. Aku masih ingin bergembira di samping teman-teman tanpa batasan, masih mahu memegang buku - belum mahu mengendong anak dan sebagainya. Tetapi melihatkan apa yang dilalui oleh kebanyakan senior-senior yang telah berjaya dalam soal jodoh ini, mereka masih mampu belajar dan memikul tanggungjawab yang berat ini walaupun terpaksa bergelumang dengan pelajaran. Kagum aku. Sesetengah mereka menyatakan, mungkin ini keberkatan yang dianugerahkan kepada mereka...

Perkahwinan masih terlalu jauh buat aku...Pengalaman itu adalah guru yang terbaik bukan?...

0 사랑해 Kisses From You:

Blog Widget by LinkWithin